Fokus naik taraf sistem pengairan sawah padi – Mohamad Sabu
Perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara adalah berkaitan dengan sistem infrastruktur air, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook hari ini berkata, perkara berkenaan perlu dilaksanakan mengikut Strategi Pertama dalam Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR): Pembangunan Kapasiti Industri dan Infrastruktur.
Menurutnya, sistem pengairan yang baik penting bagi memastikan tanaman yang diusahakan pesawah dapat memberikan hasil yang tinggi kerana ia merupakan punca pendapatan selain memastikan pengeluaran bekalan padi negara dapat ditingkatkan.
“Untuk meningkatkan hasil padi, naiktaraf sistem infrastruktur air lengkap dari sumber air hinggalah ke penyaluran air ke tengah bendang, terutama pembangunan sistem tersier yang tersusun amat diperlukan untuk mengairi kawasan penanaman padi.
“Insya-Allah hasil yang akan kita tuai nanti akan bertambah dan hasrat kita untuk mencapai tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi negara akan tercapai,” katanya.
Pada 16 Januari 2024, Mohamad berkata Inisiatif ‘Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).
Turut dilaksanakan adalah usaha memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasa pembekalan input pertanian, dan memperkasa penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.