Semasa

Polis siasat ugutan bunuh terhadap peguam Nik Elin

Pihak berkuasa polis pada Ahad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung ugutan bunuh terhadap Nik Elin Zurina Nik Abdul, individu yang memfailkan petisyen mencabar peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata tiga laporan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan satu kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Dua lagi kertas siasatan masih dalam siasatan.

“Pihak polis memohon bantuan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Nik Elin baru-baru ini memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh.

Ia susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Sementara itu Allaudeen menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan atau membuat kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

“Mana-mana pihak yang ingkar boleh diambil mengikut Seksten 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” Tambahnya.

BACA LAGI: Ugutan bunuh bukti budaya takfiri, ekstremisme menular di kalangan melayu konservatif

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Related Articles

Back to top button