KPKM jangka bekalan makanan tidak terjejas susulan fenomena El Nino
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MPKM) menjangkakan fenomena cuaca panas El Nino yang berlangsung sehingga pertengahan tahun ini tidak akan menjejaskan bekalan makanan dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini walaupun ada aduan berhubung perkara itu daripada petani, namun keadaan tanaman masih lagi terkawal.
“Aduan tetap ada dari masa ke masa dan pihak kami mengambil tindakan susulan terhadap masalah itu.
“Bekalan makanan masih mencukupi dalam tempoh cuaca panas.,” katanya.
Terdahulu Mohamad Sabu mengadakan lawatan kerja ke Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House and Industry Sdn Bhd, di Shah Alam pada Selasa.
Beliau berkata begitu susulan kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa fenomena El Nino dijangka menjadi lebih ekstrem dengan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah taburan hujan di seluruh negara pada tahun ini, susulan faktor pemanasan global yang dihadapi dunia pada masa ini.
El Nino yang berintensiti kuat dijangka akan memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara terutamanya ketika fasa akhir Monsun Timur Laut dan musim selepasnya.
Sementara itu Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya akan menyertai mesyuarat bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada minggu depan.
BACA LAGI: El-Nino: Mesyuarat rentas kementerian diadakan akhir bulan ini – Nik Nazmi
Mesyuarat rentas kementerian itu bagi membincangkan persiapan negara menghadapi El Nino.
“Cuaca panas ini akan dihadapi dalam tempoh lama dan golongan itu perlu mematuhi semua arahan pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya setakat ini belum dimaklumkan mengenai perkara itu namun kita tidak bergerak secara bersendirian dan akan menyelesaikannya secara bersama dengan beberapa kementerian,” katanya.