Semasa

Nahas I-POOC: Polis sahkan juruterbang dan pembantu maut

Pihak berkuasa polis mengesahkan dua individu terkorban dalam nahas membabitkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel di Kapar, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mayat dua individu itu yang merupakan juruterbang dan pembantu juruterbang dikeluarkan dari lokasi nahas jam 8.10 malam tadi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Mangsa yang terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42,” katanya dalam sidang media disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.di lokasi kejadian malam tadi.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC dikendalikan Air Adventure Flying Club.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata pesawat dengan nombor pendaftaran I-POOC itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, seorang saksi dipetik laporan media berkata, beliau melihat pesawat itu terbang dalam keadaan ‘tidak betul’ di udara sebelum terhempas.

Susulan kejadian, beliau yang bergegas ke lokasi mendapati pesawat berkenaan sudah berkecai dan sedikit tertanam dalam tanah.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dan terpaksa menggunakan jengkaut Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi mengeluarkan mayat dua warga tempatan itu yang ditemui di bahagian kokpit yang terbenam lebih dua meter dalam tanah.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016

Related Articles

Back to top button