Umum

Tidak boleh naik harga tambang bas ekonomi tanpa kebenaran – APAD

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pihak pengendali perkhidmatan bas tidak boleh menaikkan harga tambang ekonomi sesuka hati tanpa kebenaran.

APAD menerusi satu kenyataan hari ini berkata, ketetapan harga tambang bas ekspres adalah berdasarkan ketetapan jadual tambang.

“Kadar tambang lantai bagi perkhidmatan bas ekspres jenis eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.

“Sementara kadar tambang siling bagi perkhidmatan bas ekspres jenis ekonomi pula, ia dikawal selia dan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Walau bagaimanapun APAD memberitahu, sebarang kenaikan atau ketetapan harga perlu dirujuk kepada pihaknya terlebih dahulu.

“APAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengendali yang mengenakan caj tambang tambahan yang tidak munasabah dan membebankan pengguna.

“APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa bekerjasama dalam memastikan tiada pengusaha bas ekspres yang mengenakan kadar tambang sewenang-wenangnya,” tambah kenyataan sama.

Terdahulu, tular aduan kenaikan harga tambang bas sempena cuti Tahun Baru Cina, di mana sebuah syarikat bas ekspres yang mengenakan tambang tidak munasabah sehingga RM862 bagi perjalanan dua hala Gopeng, Perak dan Johor Bahru..

APAD menjelaskan bahawa pengguna yang mendakwa dikenakan tambang tinggi itu memilih perkhidmatan bas ekspres eksekutif dan harga yang dibayar itu adalah berdasarkan penawaran dan permintaan selari dengan musim perayaan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, APAD memandang serius terhadap mana-mana pengendali berlesen kenderaan perkhidmatan awam yang tidak mematuhi ketetapan syarat-syarat lesen dan boleh dikenakan tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Related Articles

Back to top button