Global

Ops Ihsan terus komited salur bantuan untuk Palestin

Sekretariat Induk Ops Ihsan tetap komited dalam menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata begitu melalui satu kenyataan susulan tiga individu daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TCS) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

“Ops Ihsan adalah kolaborasi strategik di mana agensi kerajaan dan NGO bekerjasama penuh demi satu tujuan, membantu rakyat Palestin yang terkesan dalam konflik kemanusiaan yang semakin parah ketika ini.

“Pendekatan ini telah diterapkan semenjak Ops Ihsan menjadi satu realiti pada November 2023 dan telah berjaya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahul pasukan misi kemanusiaan Ops Ihsan mengesahkan kesahihan surat diterima dari Kementerian Luar memaklumkan tiga individu daripada NGO Islam disenaraikan dalam TCS oleh FBI.

Menerusi surat berkenaan, pihak Kementerian Luar meminta pihak Sekretariat Induk Ops Ihsan untuk mengambil tindakan sewajarnya memastikan tiga individu yang disenaraikan tidak lagi terbabit dengan Ops Ihsan.

BACA LAGI: Palestin: Malaysia akan terus sokong UNRWA – PM Anwar

Sementara itu Jismi berkata, surat tersebut yang bertujuan menyampaikan nasihat Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan langkah berterusan bagi membantu sekretariat dalam pemantapan tata kelola demi memastikan kelancaran urusan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Isu terkait keselamatan sepertimana kandungan surat yang ditularkan kini diberi perhatian utama dalam memastikan segala atur gerak Ops Ihsan dilaksanakan dengan baik, teratur dan tersusun berdasarkan pendekatan yang telah ditetapkan.

“Di setiap perbincangan, wakil Kementerian Luar Negeri dan agensi kerajaan sentiasa berkongsi maklumat terkini dan sering menasihatkan setiap NGO mengenai kepentingan menjaga tata kelola dalam urusan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button