Telegram dan SKMM bekerjasama kawal selia platform – Fahmi

Telegram menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkemas aspek kawal selia platform berkenaan terutama dalam membanteras aktiviti scam dan judi dalam talian, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Beliau berkata, perkara itu disampaikan pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov dalam pertemuan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada Sabtu, bagi membincangkan isu berbangkit melibatkan platform media sosial itu.
Fahmi berkata, selain isu kawal selia platform berkenaan, perbincangan yang berlangsung dalam suasana positif itu turut memberi fokus berkaitan teknologi baharu serta kecerdasan buatan (AI).
“Pavel menyatakan minat untuk mengadakan perbincangan lanjut tentang beberapa peluang kerjasama dengan kerajaan Malaysia, selain memberi komitmen dan bersedia untuk melebarkan sayap operasi ke Malaysia pada masa akan datang.
“Saya juga telah menjemput beliau untuk datang ke Malaysia bagi meneruskan perbincangan dengan semua pihak berkaitan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 19 Jun 2023, syarikat perkhidmatan permesejan segera dan protokol internet, Telegram bersetuju untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan SKMM Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya menegaskan bahawa terlalu banyak kes jenayah seperti penipuan pelaburan palsu, pedofilia, pornografi dan jenayah dalam talian lain berlaku di Telegram.
“Saya dan PDRM turut menyampaikan pandangan tegas berhubung peri penting pihak Telegram dan mana-mana aplikasi pemesejan atau media sosial untuk sentiasa akur dan patuh kepada undang-undang Malaysia.
“Pihak Telegram menyatakan komitmen dan bersedia menjalinkan hubungan kerja yang lebih erat dengan SKMM dan PDRM,” katanya.



