Nasional

Guna teknologi kecerdasan buatan atasi banjir dalam tempoh jangka panjang – Zahid Hamidi

Malaysia bakal mengaplikasikan beberapa kaedah baharu yang digunakan oleh Jepun dalam pengurusan bencana di negara itu, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi mengatasi masalah banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dilihat berkesan dalam menangani isu bencana alam terutama dalam jangka panjang.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, usaha itu akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya berpendapat pengalaman berada di Osaka ini satu pengalaman perlu bagi kita menyediakan rancangan jangka panjang supaya masalah banjir dapat diurus dengan baik.

“Untuk mengatasi masalah banjir ini bukan sahaja mengenai soal kebajikan kepada mangsa banjir tetapi soal bagaimana pengairan, pengaliran dan juga tebatan banjir harus dilakukan bersama-sama teknologi yang baharu,” katanya.

Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun berkata demikian kepada media Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan bencana di Osaka Jepun, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang diperoleh daripada pengalaman pihak berkuasa tempatan di Osaka dapat digunakan di Malaysia.

Ini termasuk dalam soal pembinaan tebatan banjir dan pemasangan pam penyedut air dalam kapasiti besar yang telah dilakukan di sini sejak 45 tahun lalu.

“…dan permasalahan jangka panjang penyelesaian mesti dilakukan ketika kos untuk pemasangan dan juga pembaikan serta mengubah suai dan menaik taraf ini.. ketika kos yang tidak terlalu tinggi berbanding apabila ia dilakukan untuk 30 tahun atau 50 tahun mendatang,” katanya, lapor Bernama.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Perbincangan tersebut bagi mengkoordinasi semua mitigasi yang harus dilakukan bagi mengurangkan risiko bencana di Malaysia.

Related Articles

Back to top button