Malaysia-Jepun setuju lebar kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk AI di IPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak berkepentingan di Tokyo, Jepun bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa termasuk pendidikan tinggi negara.
Dalam lawatan kerja ke Jepun pada 17 hingga 21 Februari lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk melebarkan kerjasama dalam bidang internet pelbagai benda (IOT), kecerdasan buatan (AI), komunikasi dan teknologi informasi antara Universiti Sains Jepun dengan beberapa universiti dan politeknik.
Menurut Zambry, KPT akan melakukan kajian bagi mewujudkan politeknik khusus untuk program AI pertama di negara ini.
Katanya, perbincangan berkaitan perkara itu telah dibuat bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr Mohd Zahari Ismail ketika melawat University of Tsukuba di Irabaki, Jepun, baru-baru ini di mana ia merupakan sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Jepun dan mempunyai pusat kajian AI.
“Saya dan pihak universiti mencapai kata sepakat untuk kita menjalinkan kerjasama dalam bidang AI ini melalui pemindahan dan perkongsian tenaga mahir serta teknologi terkini yang berkaitan.
“Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewakili MTUN (Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia) bersama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang membangunkan Pusat Pengajian AI di Malaysia akan terlibat dalam kerjasama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata selain itu, Malaysia juga telah dipilih oleh University of Tsukuba untuk membuka cawangannya di Universiti Malaya yang dijangka beroperasi pada September ini.
“Pembukaan kampus ini akan menarik lebih ramai pelajar luar untuk datang ke Malaysia dan proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara.
“Pada masa sama, universiti ini mempunyai Pusat Kajian Kecerdasan Buatan (C-AIR) yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Zambry turut menyarankan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini mengkaji dan merangka mengenai ‘Social Implementation Education’ dalam sistem pendidikan tinggi negara seperti yang telah dipraktikkan National Institute of Technology, Tokyo College (Tokyo KOSEN).
Beliau berkata ini kerana di KOSEN, pelajar yang diambil bermula usia 15 tahun diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang baharu mengikut kreativiti dan idea masing-masing dan hasil itu kemudian menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat di Jepun dan secara tidak langsung membantu kerajaan mengatasi sesuatu isu dengan berkesan.
Menurut Zambry program lima tahun yang dilaksanakan KOSEN itu mampu melahirkan graduan yang sentiasa menjadi rebutan industri besar seperti Panasonic, Sony dan Honda.
“Perkara ini akan dibincangkan bersama pihak berkenaan bagi mencari kesesuaian modul yang terbaik untuk anak-anak kita,” katanya.