JBPM Kuala Lumpur tubuh pasukan khas, pastikan tahap keselamatan perumahan awam
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memeriksa tahap keselamatan kebakaran perumahan awam di pusat bandar itu.
Pengarahnya, Muhammad Salleh Abdul berkata, seramai 70 pegawai dan anggota dibahagikan kepada empat pasukan akan menjalankan pemeriksaan secara serentak setiap hari selama lapan hari bagi memastikan perumahan awam memenuhi keperluan minimum keselamatan kebakaran dan sistem keselamatan kebakaran sedia ada berfungsi serta berada dalam keadaan baik.
“Penabuhan pasukan ini susulan kes kebakaran membabitkan lima unit rumah di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah pada 11 Februari lalu.
BACA LAGI: Jabatan Wilayah Persekutuan,KPKT akan periksa semua sistem penggera di perumahan awam
“Kita (JBPM) merangka satu tindakan proaktif bagi mengelak kejadian sama berulang dengan pemeriksaan keselamatan kebakaran terhadap perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berusia lebih 30 tahun.
“Sebarang penemuan atau kelemahan yang ditemui akan dimaklumkan kepada DBKL dan pihak pengurusan,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Difahamkan, buat permulaan fokus diberikan kepada 122 blok perumahan berusia lebih 30 tahun dan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan yang dikemukakan JBPM.