Parlimen

Keluar Dewan: ‘Pembangkang bangkit isu remeh, cuba tunjuk pandai’ – Chin Tong

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dari Dewan Rakyat semalam.

Liew melalui satu kenyataan berkata, pembangkang telah membangkitkan perkara remeh apabila membantah masa ucapan tahniah perdana menteri kepada Yang Di-Pertuan Agong Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Kenyataan Parlimen itu bertujuan menjunjung kasih dan mengucapkan terima kepada Yang di-Pertuan Agong yang sebelumnya serta menyambut Yang di-Pertuan Agong baru.

“Ini bagi memastikan kenyataan persidangan itu direkodkan, khususnya kerana ia merupakan sidang Parlimen yang pertama sejak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memegang tampuk pemerintahan.

“Namun, pembangkang yang merasakan diri sangat bijak telah membangkitkan isu remeh,” tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

BACA LAGI: Pembangkang tak hormat institusi Yang di-Pertuan Agong – PM

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada Selasa menyuarakan bantahan terhadap masa ucapan Anwar, yang menurutnya boleh disampaikan ketika sidang Dewan Rakyat bermula di waktu pagi.

Dia mendakwa tiada perdana menteri terdahulu yang menyampaikan ucapan sebegitu apabila perbahasan titah baginda sudah dimulakan di dalam dewan.

Sebahagian Ahli Parlimen pembangkang kemudian bertindak memulaukan dewan ketika Anwar menyampaikan ucapan tersebut.

Sebagai rekod, Anwar tidak menghadiri sesi perbahasan sesi pagi di Dewan Rakyat kerana menyambut kunjungan Perdana Menteri Cambodia, Hun Manet yang sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia.

Related Articles

Back to top button