Pembangkang tak hormat institusi Yang di-Pertuan Agong, didorong cemburu buta – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika beliau menyampaikan Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menyifatkan tindakan itu sebagai biadap dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong, beliau mendakwa apa yang berlaku adalah kerana ‘dendam kesumat’ dan cemburu buta serta tidak faham titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya bantah keras sikap pembangkang keluar tatkala kita nak ucap tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong dan merafak sembah tahniah dan terima kasih atas khidmat Agong yang lalu (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.
Media melaporkan hampir semua Ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Ia susulan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk menyampai Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut Anwar menegaskan ucapan beliau tiada kaitan dengan Perbahasan Titah Diraja, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat ketika ini.
“Saya sepatut datang pagi tetapi kita ada kunjungan rasmi daripada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet. Sebab itu mohon kebenaran bentang jam 2.30 sebab program Perdana Menteri Kemboja selesai pada jam 1.45 tengah hari, dan ini mengambil kira (perkara yang) harus didahulukan.
“Saya sebutkan tadi mengapa beri keutamaan, sekali lagi saya tegaskan tidak ada kaitan dengan Titah Diraja, ini hanya tanggungjawab dewan.
“Setelah lantikan Yang di-Pertuan Agong, kita ungkapkan penghargaan… dan setelah (penamatan pemerintahan) Yang di-Pertuan Agong yang lalu, kita ucapkan terima kasih, itu sahaja,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
BACA LAGI: Semua lapisan masyarakat wajar hayati titah Agong – Fahmi Fadzil
Pada masa sama, Anwar turut menegur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipercayai menggaitkan penerangan yang disampaikan Perdana Menteri dengan Perbahasan Titah Diraja.
“Sepertimana kita tahu, Titah Diraja masih Titah Diraja, walaupun dalam perkara-perkara pokok dari segi dasar masih duduk kepada cadangan kerajaan.
“Tetapi Titah Diraja tentunya ada ruang untuk ditambah dan diperkukuhkan termasuk hal-hal yang menyakitkan hati mereka. Itu sebenarnya yang jadi masalah sekarang,” katanya.