Nasional

SST 8 peratus berkuat kuasa hari ini, perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir dikecuali

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan naik ke 8 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini, berkuat kuasa hari ini (1 Mac 2024).

Bagaimanapun kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.

Peningkatan kadar SST baharu ke 8 peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

Langkah ini akan membantu kerajaan terus menjana pendapatan untuk negara dengan menambah hasil kutipan kerajaan.

Pada tahun 2023, Malaysia sekadar mengutip kurang RM30 bilion dan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara, dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Kementerian Kewangan telah menganggarkan tambahan RM3 bilion hasil pada tahun depan dengan pelaksanaan kadar SST 8 peratus.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perolehan melalui pelaksanaan tersebut juga berupaya meningkatkan bantuan bersasar kepada rakyat memerlukan.

Malah katanya, ia turut membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

“Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Related Articles

Back to top button