Semasa

KKM bakal tambah baik, perluas fasiliti rawatan kanser kanak-kanak

Fasiliti kesihatan khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit kanser terutama di kalangan kanak-kanak akan ditambah baik dan diperluas.

Timbalan Menteri Kesihatan (KKM) Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan, selain meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan kanser dalam kalangan masyarakat.

“Kanser ialah penyakit yang semakin meningkat di Malaysia, terutama melibatkan golongan kanak-kanak. Lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak setiap hari.

“Namun dengan kemajuan rawatan sedia ada, peluang untuk pesakit kanak-kanak ini pulih, meningkat secara mendadak dengan lebih 70% telah sembuh. Jadi KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser kanak-kanak ini,” jelasnya.

Lukanisman berkata begitu ketika merasmikan Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024 di Kuala Lumpur.

Karnival dan kolokium yang membawa tema “Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak” itu mengetengahkan perjalanan rawatan pesakit kanser kanak-kanak yang telah pulih, termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi mereka dan keluarga.

Kira-kira 200 pesakit kanser kanak-kanak turut menghadiri karnival itu bersama ibu bapa mereka.

BACA LAGI: KKM pastikan penjagaan, keselamatan pesakit jantung tidak terjejas termasuk golongan pesara

Dalam ucapannya juga Lukanisman menyeru sektor korporat bekerjasama dengan KKM dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

“Pesakit kanser kanak-kanak perlu diberikan perhatian seperti kanak-kanak biasa lain, baik dari segi kasih sayang dan pembelajaran. Diharapkan pejuang-pejuang kanser ini dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa kanser bukanlah suatu pengakhiran.

“Kepada penjaga kanak-kanak ini, diharapkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan masa untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button