Nasional

Minggu pertama persekolahan tanpa kelas akademik seperti tahun lalu – KPM

Tiada kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula 10 Mac dan 11 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan aktiviti yang mewujudkan suasana ceria di sekolah serta penerapan adab dan akhlak.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Azman Adnan berkata dalam minggu pertama, pengurusan sekolah perlu mengalu-alukan kehadiran murid dan pelajar dan memastikan mereka seronok untuk hadir ke sekolah.

“Ini tahun kedua, pendekatan baharu iaitu minggu pertama, tiada pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

“Minggu pertama dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menyeronokkan yang bangunkan emosi anak murid serta guru untuk laksana proses pendidikan formal nanti. Guru disaran sambut pelajar dengan ramah,” katanya pada Majlis Amanat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sempena dengan Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 di Putrajaya, hari ini.

Pada masa yang sama, Azman berkata pihak pentadbiran sekolah perlu menyesuaikan kegiatan minggu pertama pelajar khususnya pada bulan Ramadan, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas yang melanda beberapa kawasan ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa peka terhadap situasi tersebut.

“Nasihat kita sama sahaja seperti mana yang telah kita putuskan dan laksana sebelum ini ketika cuaca panas. Kita ada garis panduan dan sentiasa membuat pemakluman dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, KPM masih kekal dengan garis panduan pakaian sedia ada ketika sesi persekolahan akan datang.

“Arahan berkenaan masih kekal seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Januari lalu iaitu dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya.

Bagaimanapun menurut Azman, arahan pemakaian pakaian sukan akan dikeluarkan mengikut keadaan semasa.

Beliau juga memberi ingatan agar kantin sekolah tidak ditutup sepanjang bulan Ramadan untuk memenuhi keperluan pelajar bukan Islam yang tidak berpuasa.

Sesi persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka pada 10 Mac ini.

Bagi kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya pula dibuka bermula 11 Mac ini.

Related Articles

Back to top button