Negeri

Umno Kedah anggap cadangan bina empangan bawah tanah sebagai angan-angan Mat Jenin

Cadangan kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas untuk membina empangan air bawah tanah di Langkawi disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melalui satu kenyataan berkata, pentadbiran sedia ada tidak mampu melaksana projek mudah seperti penyelenggaraan paip bawah tanah apatah lagi untuk membina empangan bawah tanah.

“Kita bukan hendak jadi pesimis tapi kita perlu menjadi realistik, dan bagaimana kita hendak menjadi realistik? Kita melihat track record kerajaan negeri dalam melaksanakan projek projek mega,

“Penyelenggaran dan projek atas tanah pun teruk, bila kerajaan persekutuan buat spot check keadaan loji loji air tersangat teruk. Projek loji air yang persekutuan bagi duit ratusan juta di Kuala Muda dan Baling yang dijangka siap 2023 pun bayang tak nampak,” katanya.

Seorang Exco kerajaan negeri Kedah dipetik laporan berkata, pihaknya sedang dalam penerokaan sumber air baharu.

Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, pembinaan empangan air bawah tanah di Padang Mat Sirat, Langkawi dengan kos sebanyak RM453 juta dijangka dapat membekalkan kapasiti 50 juta liter padu air.

Sementara Shaiful Hazizy mendakwa pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering mengambar gemburkan projek megas, namun ia akhirnya tidak digerakkan .

BACA LAGI: Masalah LRA di Kedah: Pembangkang jangan cuba salahkan pihak lain

“Pernah kita dengar apa perancangan kerajaan negeri untuk cari dana perlaksanaan empangan ini? Tiada bukan? Malah duit kerajaan negeri pun semua bergantung kepada pelaburan yang kerajaan pusat cari untuk KXP.

“Itu belum lagi kita hendak ambil kira risiko yang bakal kita hadapi dengan pembinaan empangan bawah tanah. Melihatkan kepada rekod penyelenggaraan kerajaan negeri yang acuh acuh, risiko akan lebih meningkat.

“Pertama isu sink hole. Kedua kualiti air bawah tanah yang akan rosak dengan resapan racun serangga. Nanti siapa yang tanggung akibatnya, rakyat Kedah jua. Kasihan mereka,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button