Negeri

11 PEDi baru bakal di bina di Negeri Sembilan – Menteri KKD

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal membina dan pengoperasian 11 buah lagi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Negeri Sembilan.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, proses pembinaan PEDi berkenaan sedang dilaksanakan ketika ini iaitu di Ampangan, Sikamat, Temiang, Johol, Kuala Pilah, Seri Menanti, Bukit Kepayang, Mambau, Rahang, Seremban Jaya dan Chuah.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada waktu ini kita ada 51 PEDi di seluruh Negeri Sembilan, insya-Allah ada 11 buah lagi akan dibina, ia akan ada implikasi kewangan kepada SKMM sebanyak RM2 juta setahun,” katanya.

Ketua Penerangan Parti KEADILAN itu berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan program Kita Madani Peringkat Negeri Sembilan di Kampung Seri Batu 8, Labu pada Khamis.

Sementara itu, Fahmi berkata, sebanyak 1,878 Komuniti Madani telah ditubuhkan di seluruh negara dan 108 daripadanya adalah di Negeri Sembilan yang melibatkan 36 kawasan DUN.

“Komuniti MADANI merupakan badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia untuk menyalurkan informasi yang tepat dan sahih serta menyebar luas inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ke peringkat akar umbi secara berterusan.

“Komuniti MADANI juga berfungsi sebagai platform untuk menjelaskan dan menangani isu, fitnah dan berita palsu justeru kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan aktif masyarakat melalui Komuniti Madani untuk menyampai dan menjelaskan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat,” katanya.

Related Articles

Back to top button