Penguatkuasa KKM turun padang, pantau kebersihan makanan di bazar Ramadan
Seramai kira-kira 1,000 penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) akan digerakkan bagi memantau penyediaan dan kebersihan makanan di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain melakukan pemantauan, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kebersihan makanan dan bazar.
KKM juga memastikan kesemua peniaga mendapatkan suntikan tifoid sebagai langkah menjamin keselamatan makanan.
“Bagi (pengunjung) yang datang membeli pula perlu ada pengetahuan dalam mengenal pasti kualiti dan keselamatan makanan yang disiapkan seperti memerhati keadaan fizikal makanan yang dijual dan menghidu makanan tersebut,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Wellnes Hub Terengganu di pekarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Terengganu pada Sabtu.
Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan laporan dan aduan berkaitan bazar Ramadan secara dalam talian, KKM juga akan menempatkan platform khas kod QR di semua bazar .
BACA LAGI: Fadhlina minta sekolah pantau harga makanan di kantin
Sementara itu beliau turut menggesa rakyat terus melakukan langkah-langkah pencegahan di kawasan sesak walaupun KKM tidak menjangkakan kes berkaitan COVID-19 akan meningkat kali ini.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak berada di tempat yang sesak seperti bazar Ramadan sekiranya tidak sihat atau mengalami gejala seperti batuk,” katanya dipetik.