Parlimen

Ibu bapa boleh pantau kandungan dalam talian guna ‘Parental Control Tools’ – Fahmi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan perisian Parental Control Tools bagi memantau kandungan dalam talian yang dilihat oleh anak-anak.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, perisian itu membolehkan ibu bapa menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan yang dilihat serta aktiviti anak-anak dalam talian, dan ibu bapa atau penjaga juga boleh menggunakan perkhidmatan perisian lain bagi tujuan sama.

Beliau berkata, lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan ialah CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.

“Kebanyakan penyedia platform media sosial juga mempunyai had umur pengguna akaun dengan hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun media sosial.

“Bagi memastikan syarat ini dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka.

“Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui mengenai langkah-langkah yang diambil kementerian bagi memastikan anak-anak bawah 15 tahun diharamkan memiliki akaun sosial media, agar mereka tidak mengikuti trend yang tidak baik di platform berkenaan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak menutup mana-mana pengoperasian platform media sosial termasuk TikTok pada masa ini.

Fahmi bagaimanapun menjelaskan, beberapa langkah sedang dipertimbangkan bagi meningkatkan tahap keselamatan penggunaan platform berkenaan termasuk melibatkan kanak-kanak, penyebaran bahan pornografi dan jualan produk tidak patut.

“Kerjasama dengan lebih baik daripada penyedia platform media sosial serta undang-undang yang mungkin padu atau lebih sesuai manfaat dengan keperluan sekarang.

“Ini akan dapat membantu negara, ekonomi dan rakyat kita meraih manfaat daripada pengguna platform-platform ini.

“Bagaimanapun kita mengambil maklum ada sejumlah negara seperti India contohnya telah menutup TikTok sejak lima atau enam tahun lalu. Di China pula, TikTok tidak wujud langsung tetapi menggunakan aplikasi berbeza iaitu Douyin,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikikan bagi menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (BN-Batu Pahat) berkenaan pendirian kerajaan sama ada untuk menutup platform media sosial memudaratkan seperti yang telah dilaksanakan beberapa negara.

Related Articles

Back to top button