ekonomi

Microsoft mahu jadikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN – Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Satya Nadella dalam merangka strategi menjadikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN.

“Inisiatif ‘Kekal Bersama Malaysia’ saksikan kerjasama Malaysia dan Microsoft untuk jadikan negara kita Hab Digital ASEAN,” kata Tengku Zafrul dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, Satya akan berkunjung ke negara ini tidak lama lagi bagi mengukuhkan kerjasama tersebut.

“Menantikan kerjasama yang lebih erat dengan Microsoft untuk memacu kepimpinan Malaysia dalam bidang digital ASEAN,” katanya.

Satya dijadualkan menyampaikan ucaptama mengenai era baharu kecerdasan buatan (AI) di Microsoft Build: AI Day di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 20 Mac 2024.

Dalam perkembangan lain di Hamburg, Jerman, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa satu mesyuarat secara atas talian terpaksa dilakukan bersama wakil syarikat BMW dan ams Osram kerana berlaku mogok di lapangan terbang Berlin yang memaksa penerbangan terpaksa dibatalakan seterusnya menghalang delegasi negara ke Munich.

Menurut beliau, kedua-dua syarikat terbabit telah lama bertapak di Malaysia dan perbincangan adalah menjurus kepada perancangan masa depan mereka.

“MITI sentiasa bersedia untuk mendengar dan memudahcara keperluan para pelabur di Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button