Nasional

Anwar umum ‘esok subsidi padi naik RM500’

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.

Berucap merasmikan Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak di Dewan Kerian Lermai, di Parit Buntar hari ini, Perdana Menteri berkata peningkatan subsidi itu RM140 adalah satu-satunya kenaikan sejak 25 tahun lalu.

Itu akan menyaksikan pesawah negara ini memperoleh RM1,700 bagi satu tan pengeluaran padi, bermula hari ini, yang bermatlamat meringankan beban pesawah, ia adalah bagi menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.

Dengan pengumuman itu jelasnya , ia dijangka akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun.

“Kenaikan (subsidi padi) yang paling akhir adalah semasa Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan dulu, 25 tahun lalu. Alhamdulillah kini sudah jadi Menteri Kewangan, subsidi itu naik lagi dari RM360 kepada RM500,” imbasnya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Anwar ketika mengumumkan kenaikan subsidi itu turut secara sinis, menyindir pihak yang sebelum ini sering menyerang peribadinya dengan memetik ungkapan ‘hari ini umum, esok turun’.

“Apa, perleceh lagi aku hari ini dapat kuasa esok turun. Sekarang, hari ini umum, esok naik harga padi seluruh Malaysia,” katanya ketika membuat pengumuman itu.

Anwar sementara itu berharap dengan pengumuman itu ia akan melegakan pesawah yang turut berhadapan peningkatan kos input pertanian seperti harga baja dan racun yang membebankan mereka.

Related Articles

Back to top button