ekonomi

KESUMA lancar geran padanan program latihan industri PKS, syarikat baharu

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan inisiatif Geran Padanan Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) dengan peruntukan RM30 juta yang bakal memanfaatkan 30,000 pelatih amali.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif dibawah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu bagi menyokong latihan industri berstruktur dan mampan dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan syarikat baharu Malaysia.

Inisiatif LiKES dibuka kepada majikan bermula minggu ini sehingga tahun 2026, dan pihaknya menyasarkan penyertaan 600 syarikat PKS serta syarikat baharu sepanjang lebih dua tahun inisiatif itu dijalankan.

“Buat kali pertama, kerajaan memperkenalkan geran padanan latihan industri untuk menyokong sektor PKS dan syarikat pemula bagi memastikan lebih ramai majikan mengambil bahagian dalam usaha membina negara secara kolektif untuk memupuk bakat muda negara.

“Kita sedar banyak syarikat mempunyai kekangan untuk membayar elaun dan peluang latihan amali mempunyai taburan tidak seragam, iaitu (syarikat menyediakan latihan industri) lebih tertumpu di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya selepas melancarkan LiKES di Kuala Lumpur pada Isnin.

BACA LAGI: Hijrah Selangor peruntukkan RM300,000 anjur program latihan usahawan tahun ini

Mengulas mengenai inisiatif itu beliau berkata, ia merangkumi tempoh latihan sehingga enam bulan dan dibuka untuk permohonan oleh PKS dan syarikat pemula.

“Elaun minimum bagi pelajar Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma dan Diploma Kemahiran Malaysia RM500 sebulan, TalentCorp akan membayar semula kepada majikan RM250 sebulan.

“Bagi pelajar yang mengikuti Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau Sijil Profesional, elaun minimum yang perlu dibayar ialah RM600 sebulan dan TalentCorp akan membayar semula RM300 sebulan,” katanya.

Related Articles

Back to top button