Nasional

Tunku Mahkota Ismail gesa tindakan tegas terkait isu stoking tertera kalimah Allah

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah, kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam dan isu ini tidak boleh dipandang remeh.

“Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu berkenaan dan memastikan isu seperti ini tidak akan berulang lagi.

“Saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titahnya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Rabu lalu, pengendali rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah.

Pembekal stoking itu, Xin Jian Chang Sdn Bhd, juga telah memohon maaf berhubung perkara itu dan berkata pihaknya akan lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.

Related Articles

Back to top button