Kastam tidak keluarkan surat minta orang ramai bayar SST
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan pengeluaran surat palsu yang menggunakan nama dan tanda tangan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Surat palsu tersebut dikeluarkan kepada mangsa yang diminta untuk membuat pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh pihak kastam.
Surat pembayaran SST tersebut dibuat adalah merupakan salah satu cara yang digunakan oleh para ‘scammer’ dalam negara yang bertujuan untuk menipu dan ‘merompak’ wang milik mangsa dengan menggunakan teknik penyamaran sebagai pegawai kastam.
“JKDM sentiasa berusaha menangani penyebaran sebarang bentuk surat, berita atau apa-apa kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan awam terjaga,” kata kenyataan yang dikeluarkan JKDM.
JKDM turut menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan surat palsu tersebut dengan membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu kepada suber rasmi JKDM mengenai apa-apa sahaja maklumat yang diterima.