Parlimen

Dewan Negara lulus RUU Keselamatan Siber 2024

Persidangan Dewan Negara pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024.

RUU itu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber, diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Gobind ketika menggulung perbahasan mengenai RUU itu berkata, RUU tersebut amat penting bagi memastikan kebolehlaksanaan dan kecekapan fungsi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) dalam menangani insiden keselamatan siber.

CNII merangkumi sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat, komunikasi dan digital yang lazimnya menjadi sasaran serangan siber bagi melumpuhkan kerajaan.

Pada penggulungan itu Gobind turut menjelaskan, RUU itu turut merangkumi sektor perkhidmatan jagaan kesihatan, air dan pembentungan, pengurusan sisa, tenaga, pertanian dan perladangan, perdagangan industri dan ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi.

BACA LAGI: KKM sasar tempoh lima tahun laksana sepenuhnya transformasi kesihatan digital

“Ini sektor-sektor yang kita lihat menjadi sektor yang sangat penting dan sekiranya terdapat ancaman siber, sekiranya berjaya, ia boleh mendatangkan kesan yang sangat memudaratkan kepada negara.

“Jadi perlu untuk kami melihat bagaimana untuk mewujudkan satu undang-undang supaya kita boleh mengambil langkah-langkah untuk pastikan bahawa entiti-entiti (CNII) ini bersiap siaga, faham akan risiko dan bagaimana melaksanakannya,” katanya.

Difahamkan, RUU itu akan menggunakan pendekatan berasaskan penilaian risiko dan menentukan kawalan perlindungan terhadap sebarang teknologi yang akan digunakan kelak.

Related Articles

Back to top button