Negeri

Kementerian Pengangkutan akan pertimbang kemasukan bas pelancong dari Thailand ke Kelantan

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertimbangkan kemasukan bas dari Thailand ke Kelantan dalam usaha negeri itu menarik pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor, ketika memaklumkan perkara itu berkata, ia hasil pertemuan beliau dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada Khamis lalu.

“Saya sudah berjumpa dengan Anthony dan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan menerusi pertemuan itu saya menyuarakan situasi yang berlaku.

“Alhamdulillah perbincangan berjalan lancar dan beliau memaklumkan akan mempertimbangkan berhubung isu kemasukan bas dari Thailand ke Kelantan.

“Justeru, kita jangkakan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan mengenali Menteri, beliau seorang yang aktif dan cepat dalam urusan kerja,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Kamaruddin turut memaklumkan tahun ini adalah Tahun Melawat Kelantan dan kebenaran kemasukan bas pelancong itu sangat penting buat Kelantan dalam usaha menarik pelancong.

“Justeru, kita mengharapkan keputusan yang positif daripada MOT,” katanya.

Terdahulu, MOT sedia meneliti permohonan rayuan Kelantan agar bas pelancong Thailand dibenar memasuki Malaysia melalui empat negeri bersempadan dengan negara Gajah Putih itu.

Anthony Loke berkata, Kelantan boleh mengemukakan permohonan kepada MOT untuk pertimbangan.

“Tetapi ada pelbagai isu teknikal yang perlu diatasi termasuklah dari segi perlesenan dan pemandu dan sebagainya.

“Jadi itu perlu dikaji dengan mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah,” katanya.

Related Articles

Back to top button