Global

Malaysia terus kecam serangan Israel di bandar Rafah, selatan Gaza

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini di bandar Rafah, selatan Gaza pada 21 April yang mengorbankan sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin yang tidak bersalah termasuk 18 kanak-kanak.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menekankan situasi di Rafah adalah amat membimbangkan mengambil kira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi.

Katanya, sebarang serangan di Rafah akan mengakibatkan implikasi yang dahsyat kepada lebih 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 kilometer persegi.

Pada Mac 2024, Israel telah diberi amaran oleh negara-negara sekutunya untuk mengelakkan daripada menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan kerana serangan itu ternyata membuktikan kedegilan Israel.

“Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat. Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu.

“Mereka kini tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung. Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya,” menurut kenyataan itu.

Masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel, mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan Kenegaraan Palestin dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad, menurut kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button