Negeri

Pulau Pinang cipta sejarah, tanam sejuta pokok dalam sehari

Pulau Pinang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menanam satu juta pokok dalam tempoh sehari.

Lebih istimewa, ia berjaya dilaksana secara serentak sempena sambutan Hari Bumi 2024 yang disambut pada Isnin.

Program anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri itu yang dilaksana sempena sambutan Hari Bumi 2024 mencapai sasaran penanaman satu juta pokok tepat jam 11.30 pagi semalam.

Kejayaan itu disahkan sekaligus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) .

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang Datuk Seri Rozali Mohamud dipetik laporan media memaklumkan kemuncak acara itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menanam pokok ke sejuta di pekarangan kediaman rasminya, di Seri Mutiara.

“Tepi jalan dan kawasan perumahan, penduduk berasa terpegun kerana dengan sekelip mata ataupun beberapa hari sahaja, depan rumah mereka ada pokok-pokok menghijau… ini satu perubahan sangat berkesan bagi menghijaukan negara kita.

“Saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan, sektor swasta, sekolah, institusi pengajian tinggi, komuniti dan seterusnya kepada individu menyumbang walaupun sepokok, kami amat menghargainya,” katanya.

Sijil pengiktirafan disampaikan Pegawai Operasi MBOR, Christoper Wong Hong Wai kepada Rozali dan disaksikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada satu majlis di Seri Mutiara, malam tadi.

Turut menyaksikan penyerahan sijil itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

BACA LAGI: Pulau Pinang cipta rekod pelaburan tertinggi bernilai RM71.9 bilion

Sementara itu Rozali berkata meskipun mencapai sasaran satu juta pokok, komitmen tinggi masih ditunjukkan rakyat negeri ini apabila 1,251,512 juta pokok ditanam setakat 5.30 petang tadi.

Beliau berharap program berkenaan menjadi titik perubahan kepada anjakan paradigma kerana ia membuktikan kebolehan rakyat Pulau Pinang untuk mewujudkan ikatan komuniti dan kehijauan alam.

Related Articles

Back to top button