Semasa

Kenaikan gaji penjawat awam: KPDN beri amaran jangan cuba naikkan harga barang

Kementerian Perdagangan dalam Negeri (KPDN) memberi amaran agar peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh memberi amaran itu susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada 1 Mei lalu.

Tegasnya, pihak kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas peniaga yang didapati berbuat demikian.

“Kami (KPDN) mempunyai punca kuasa untuk mendapatkan harga setiap barangan di sepanjang rantaian bekalannya. Contohnya apabila kita tarik subsidi ayam, kita lihat ada usaha untuk menaikkan harga yang tidak munasabah pada minggu pertama dan kedua.

“Melihat kepada situasi itu, KPDN terus mengeluarkan notis kepada peniaga yang melanggar peraturan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Pejabat KPDN Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula 1 Disember 2024 melibatkan impak kewangan negara melebihi RM10 bilion.

Kenaikan yang bertujuan menambah pendapatan pekerja gred rendah antara 25 hingga 30% itu merupakan yang paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara berbanding kenaikan sebelum ini.

BACA LAGI: PM Anwar minta rakyat ‘humban’ Ahli Parlimen bantah kenaikan gaji penjawat awam

Susulan pengumuman berkenaan, masyarakat melahirkan kebimbangan akan berlaku kenaikan harga barang dari sikap segelintir peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan pihaknya akan terus memantau kadar inflasi dan impaknya susulan pengumuman kenaikan gaji tersebut.

Related Articles

Back to top button