Anwar

PM Anwar mahu perkhidmatan awam contohi tindakan Arab Saudi, beri kelulusan segera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat berkaitan kerajaan dan penjawat awam untuk mengambil contoh tindakan Arab Saudi yang meluluskan permohonan dengan segera.

Menurut Anwar, kecekapan dan kepantasan tahap kelulusan Arab Saudi wajar dicontohi kerana mampu membolehkan negara melonjak tinggi.

“Saya kagum dengan tahap kelulusan di Arab Saudi, 9.30 pagi dikemukakan permohonan dan pada pukul 8 malam, Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammad Salman telah berikan lampu hijau dan minta diteruskan.

“Sebab itu, daripada sudut kepantasan kelulusan menyebabkan negara itu melonjak tinggi, itu kerana kecekapan berkenaan.

“Jadi, saya mahu gesa rakan-rakan khususnya syarikat kerajaan dan penjawat awam (ambil peranan) daripada sudut tanggungjawab kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya pada Isnin.

Sebelum ini, Anwar telah mengadakan lawatan kerja ke Riyadh untuk menghadiri mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bermula 27 hingga 29 April lalu dan mengadakan pertemuan bersama syarikat gergasi Arab Saudi.

Dalam lawatan ke Riyadh, Anwar telah berjumpa dengan syarikat Acwa Power pada pukul 9.30 pagi dan mereka telah memberikan minat untuk bekerjasama di mana Malaysia turut memberikan komitmen ke arah itu.

“Ini kerana ia syarikat kerajaan punya khazanah, maka dia perlu persetujuan muktamad daripada Perdana Menteri.

“Pada pukul 8 malam sebelum pulang ke Malaysia, saya telah berjumpa Mohammad Salman dan beliau telah diberi penjelasan oleh Acwa Power di mana proses itu dilakukan dalam tempoh satu hari.

“Semua agensi terlibat bagi lampu hijau, bila saya bangkitkan isu itu, Mohammad Salman berkata, Arab Saudi telah bersetuju supaya dapat disegerakan,” ujarnya.

Oleh hal yang demikian, persetujuan tersebut memberi terjemahan bahawa Arab Saudi yakin terhadap kestabilan politik Malaysia selain melihat kepada dasar ekonomi yang jelas serta kecekapan sistem perkhidmatan awam.

Related Articles

Back to top button