PRK Kuala Kubu Bharu: hubungan baik calon kerajaan beri kelebihan kepada pengundi
Pakatan Harapan (HARAPAN) mengamalkan budaya politik matang dalam mendekati pengundi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).
Ketua Setiausaha gabungan itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua jentera Kerajaan Perpaduan tidak menggunakan pendekatan kebencian dan politik dendam pada kempen tersebut terutama dengan menyerang peribadi calon bertanding.
“Ini yang selalu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pesankan kepada kita semua pimpinan dan kita yakin pendekatan politik matang sebegini akan diterima dengan baik oleh rakyat yang berfikiran waras dan terbuka dan dalam konteks hari ini pengundi di KKB.
“Perdana Menteri juga dah tunjuk contoh yang baik…biarpun kita kalah teruk di Kedah dan Kelantan namun ia tidak jadi kudis malah tetap beri peluang pada menteri besar di dua negeri itu (untuk) sebut apa permohonan dan permintaan mereka dan ini umpamanya kamu bagi batu, kami balas bunga,” katanya pada satu siri ceramah baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, jentera di pihaknya terus giat mempromosikan dan menerangkan kekuatan calon yang mendapat sokongan penuh serta mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Pada PRK tersebut, calon mewakili kerajaan, Pang Sock Tao ditentang tiga pencabar lain iaitu calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin serta calon Bebas, Nyau Ke Xin.
BACA LAGI: PH lancar manifesto, garis lima teras utama
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) , Datuk R Ramanan, mengingatkan masyarakat India di kawasan tersebut tidak terpengaruh kempen memboikot pilihan raya tersebut.
Menyifatkan hasutan pihak tidak bertanggungjawab itu sebagai berniat jahat dan mahu memecahbelah perpaduan kaum, beliau berharap pengundi kaum India akan turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.