Parlimen

Speaker Dewan Rakyat sahkan kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu masih kekal

Kedudukan Ahli Parlimen parti Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, beliau belum menerima sebarang notis dari Bersatu bagi pengosongan kerusi itu susulan pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan baru-baru ini.

Menyifatkan perkara itu sebagai isu dalaman parti politik, beliau menegaskan untuk tidak mencampuri urusannya.

“Selagi ia tidak melibatkan Parlimen, saya tidak akan terlibat dan ambil pusing sebab itu isu politik, isu pentadbiran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), hinggalah mereka selesai masalah mereka dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat.

“Sekarang ini tidak ada apa-apa berlaku lagi, notis apa pun tak terima, satu surat dan e-mel pun tak ada. Saya anggap tak ada apa-apa berlaku selagi benda itu tidak datang ke meja saya, itu hak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen pada Isnin.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada House Committee of The Legislative Council of The Hong Kong Special Administrative Region (LEGCO).

Enam Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Anwar dan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam menjamin kebajikan rakyat

Keputusan itu tegas mereka bagi memastikan kepentingan pengundi diwakili mereka terjamin.

BACA LAGI: PM Anwar minta rakyat ‘humban’ Ahli Parlimen bantah kenaikan gaji penjawat awam

Enam Ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Susulan itu parti Bersatu membuat pindaan terhadap Perlembagaan parti mereka bagi membolehkan tindakan mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen itu dilakukan.

Related Articles

Back to top button