Semasa

Nasib 36 penuntut UniMAP terjejas kebakaran dapat perhatian Perdana Menteri

Nasib penuntut yang terkesan kebakaran di Kompleks Perumahan Pauh Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau pada Sabtu lalu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengetua kompleks berkenaan Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim dipetik laporan media berkata pihaknya amat berbesar hati atas keprihatinan Anwar yang juga Menteri Kewangan, yang menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 36 penuntut yang mengalami kerosakan motosikal susulan kejadian itu.

“Lapan pelajar menerima sumbangan hari ini manakala selebihnya akan diberi kemudian kerana mereka sudah pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau memaklumkan, sumbangan tersebut telah diserahkan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim yang mengadakan tinjauan semalam.

Media pada 11 Mei lalu melaporkan 26 motosikal musnah dan 10 lagi mengalami kerosakan kecil selepas kawasan parkir asrama lelaki UniMAP di aras bawah Blok B kompleks itu terbakar pada awal pagi.

BACA LAGI: PM Anwar sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa pokok tumbang

Kejadian itu menyebabkan seramai 564 pelajar terjejas dengan anggaran kos membaik pulih bangunan yang terjejas belum diputuskan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini memaklumkan kementerian juga akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada UniMAP susulan insiden itu.

Kementerian juga mahu siasatan terperinci dijalankan susulan kejadian tersebut.

Related Articles

Back to top button