Serangan di Ulu Tiram: Jangan buat spekulasi, beri ruang pihak berkuasa siasat – Menteri
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau bekas anggota kumpulan terancang atau militan bagi memastikan golongan itu tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sebagai mengulas serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengemparkan negara berkata, tindakan suspek tidak berkaitan misi besar oleh kumpulan terancang.
Sebaliknya pihaknya percaya serangan oleh individu bertopeng itu didorong motivasi dan kefahamannya.
“Alhamdulillah (gerakan) JI ini masih terkawal dan saya percaya pasukan polis mempunyai pengalaman untuk menguruskan (kejadian sama di Balai Polis Ulu Tiram) berdasarkan pangkalan data, pola dan corak sesuatu itu berlaku.
“Pangkalan data kita memadai untuk menguruskan insiden sebegini dan kita mempunyai latar belakang mereka yang terlibat dalam apa pun kegiatan atau pernah ditahan di bawah (Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas 2012 (Sosma)…pendekatan polis adalah terus berinteraksi dengan mereka bagi memastikan proses rehabilitasi berjalan serta tidak menjadi ancaman kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di IPK Johor pada Sabtu.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
BACA LAGI: PM Anwar kecam serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram
Dalam kejadian 2.45 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said maut diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala seorang lagi anggota polis, Mohd Hasif Roslan, cedera ditembak.
Suspek lelaki berumur 21 tahun yang ditembak mati dan siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.
Sementara itu dalam sidang media tersebut Saifuddin menggesa masyarakat mengelak menyebarkan sebarang spekulasi, manakala media disaran melaporkan kejadian terbabit berdasarkan fakta diberikan polis.
“Beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan (polis) memberi jaminan ketenteraman serta keselamatan awam adalah keutamaan kami.” katanya.