Politik

Ulang Tahun ke-25 KEADILAN: Anwar ingatkan kuasa adalah amanah bukan keistimewaan

Sempena ulang tahun ke-25 KEADILAN, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti itu bahawa kuasa yang diamanahkan perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

“KEADILAN berpasak atas semangat islah yang kuat. Selalu saya ingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.

“Justeru, hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan.

“Tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti kita pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.

“Selamat ulang tahun KEADILAN yang ke-25 kepada seluruh anggota dan pimpinan KEADILAN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Parti Keadilan Rakyat, hari ini.

Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan pada 4 April 1999 oleh keluarga dan penyokong Anwar berikutan penahanannya sementara menunggu selesai perbicaraan atas dakwaan salah guna kuasa dan liwat.

Pada September 1998, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar sebagai timbalannya sehingga mencetuskan gerakan reformasi yang akhirnya disokong oleh parti pembangkang.

Pada tahun 2003, PKN bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kemuncaknya menjadi gabungan Pakatan Harapan (PH) yang wujud hari ini yang menerajui Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button