Jalur hukum, proses mahkamah perlu bebas – PM Anwar
Amalan rasuah yang sistemik dan bermaharajalela menjadi barah utama yang melemahkan ekonomi negara dan perlu segera diselesaikan segera sebelum usaha mengatasi masalah struktural dapat dilaksana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Perutusan Negara pada Selasa berkata, kerana itu beliau menekankan soal rasuah sebaik mengambil alih pentadbiran negara.
“Kita hadapi perkara ini di tiap peringkat. Rakyat terpaksa terbeban dengan kerenah, peel beberapa orang yang masih mahu mengaut komisen harga sebelum apa-apa kelulusan diperolehi.
“Maka, soal rasuah ini saya tekankan kerana ia menjadi barah utama yang melemah ekonomi negara, serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat,” katanya.
Pada perutusan itu Anwar menjelaskan, tahun pertama mentadbir, Kerajaan Perpaduan juga menegaskan keperluan mengehentikan amalan rundingan terus dalam perolehan kerajaan.
Bagaimanapun katanya, masih ada segelintir rakyat yang jika benar rasuah masih bermaharaja lela, mengapa tidak kerajaan segera menghukum mereka?
“Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya.
BACA LAGI: Malaysia kehilangan RM277 bilion akibat rasuah bermula 2018 hingga 2023
Perdana Menteri turut menegaskan kerajaan tidak akan masuk campur proses kehakiman dan sentiasa beri ruang sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperhebat usaha membanteras rasuah dan ketirisan.
“Selain itu, peranan Jabatan Audit Negara juga diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik,” jelasnya.