Semasa

Kerajaan tidak mansuh pemberian subsidi diesel – Armizan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tampil menjelaskan kekeliruan rakyat susulan pengumuman penyasaran subsidi diesel oleh Perdana Menteri.

Menterinya, Datuk Seri Armizan Mohd Ali menegaskan, kerajaan tidak menghapus atau memansuhkan pemberian subsidi sebaliknya hanya melakukan penyasaran semula subsidi bahan api diesel agar ia benar-benar dinikmati golongan yang layak sahaja.

“Penyasaran semula subsidi bahan api bukanlah keputusan tergesa-gesa kerajaan. Apa yang dilakukan kerajaan bukan penghapusan mahupun pemansuhan, sebaliknya hanya penyasaran semula subsidi bahan api diesel.

“Ia melibatkan dua pemegang utama, pertama dalam konteks untuk menyelaraskan harga runcit bahan api diesel tersebut di stesen-stesen minyak, harga yang akan ditawarkan kepada semua pihak termasuk warga asing.

“Tetapi ada juga harga pada kadar khas yang akan diberikan kepada kumpulan-kumpulan sasar melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan fleet card,” katanya melalui satu sidang media selepas Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 kepada 15 syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak di Klang semalam.

Menurut Armizan, langkah penyasaran subsidi ini menggunakan mekanisme yang lebih rapi melalui secara digital untuk membantu aspek penguatkuasaan.

Selain itu, komponen kedua penyasaran semula subsidi di luar stesen minyak ialah untuk memberikan bantuan sosial kepada golongan sasar terlibat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap bahan api diesel.

BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi bolehkan hasil digunakan untuk pembangunan lebih penting

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara yang disiar pada Selasa mengumumkan penyasaran subsidi bahan api itu.

Melalui langkah terbaharu yang mengecualikan warga asing dan golongan T20 menikmati subsidi itu, kerajaan dijangka mampu membuat penjimatan secara kasar sekitar RM4 bilion setahun.

Related Articles

Back to top button