Negeri

MAIWP beri insentif Aidiladha RM500 kepada asnaf

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Insentif Khas berjumlah RM500 kepada asnaf MAIWP di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, insentif khas yang akan diberikan kepada seramai 32,300 orang asnaf penerima bantuan zakat MAIWP yang terdiri daripada kategori asnaf Fakir, Miskin, Muallaf dan Ar-Riqab.

“Dalam hal ini, secara keseluruhannya, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM16,150,000 daripada wang kutipan zakat yang diterima untuk diagihkan bagi membolehkan para asnaf membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tersayang.

“Semoga wang zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) akan mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wataala,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, MAIWP akan sentiasa berusaha dari masa ke semasa menyantuni keperluan serta kebajikan asnaf di Wilayah Persekutuan dengan sebaik-baiknya.

Difahamkan, Bantuan Insentif Khas ini akan dikreditkan ke dalam akaun penerima selewat-lewatnya pada 14 Jun 2024.

Related Articles

Back to top button