Aminuddin seru penjawat awam jadi ejen sebar luas kefahaman konsep Malaysia Madani

Penjawat awam diseru bertindak sebagai penggerak dan ejen utama dalam menyebarluaskan konsep Malaysia Madani secara kolektif.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi memastikan rakyat dapat memahami sekali gus menjayakan agenda itu di peringkat negeri dan nasional.
Tambahnya, menerusi Program Penggerak Madani peringkat negeri, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berfikir secara strategik serta menghasilkan nilai karamah insaniah yang tinggi dan berdaya saing dalam persekitaran organisasi masing-masing.
“Kita telah berjaya melaksanakan Program Penggerak Madani Siri-1 dengan melibatkan 120 peserta dalam kalangan warga kerajaan Negeri Sembilan gred 44 hingga gred 52 pada 13-15 Dis lepas. Kumpulan sasar seterusnya adalah petugas kerajaan ,” katanya.
BACA LAGI: Penjawat awam perlu main peranan fahamkan rakyat kepada konsep Malaysia MADANI
Mengulas lanjut, Aminuddin memaklumkan beberapa program membabitkan pelajar sekolah menengah dan prauniversiti telah dilaksana sebagai mendokong agenda pembudayaan Madani di peringkat negeri.
“Agenda pembudayaan Madani ini telah bermula sejak September tahun lepas mengikut kumpulan sasar yang ditetapkan…ia bermula dengan Kem Generasi Madani melibatkan pelajar Tingkatan 4 dari seluruh negeri ini.
“Hasrat kami agar peserta dapat memperkukuhkan kefahaman berkaitan Malaysia Madani dan hubung kaitnya dalam dasar perancangan negeri dan negara serta pelaksanaannya,” katanya.



