Semasa

Tokoh penyair Pyanhabib meninggal dunia

Penyair dan pelakon, Pyanhabib, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, malam tadi.

Berita kematian Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman dikongsikan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Anggerik di platform X nya.

“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi.

“Sesungguhnya kita datang dari Allah, dan kepada Allah jua kita akan kembali. Al-Fatehah,” katanya lagi melalui hantaran tersebut.

Allahyarham Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.

Beliau aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam, kumpulan seni dekat 70-an – sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis yang mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.

Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buah buku.

Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian seniman itu sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni dan sastera.

Melalui hantaran di laman Instagranya, Fahmi menyifatkan Allahyarham Pyanhabib sebagai seniman serba boleh yang bukan sahaja disenangi, malah disayangi ramai.

“Pemergian Allahyarham akan diratapi seniman tanah air. Tenanglah dikau di negeri abadi

“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” tulisnya.

Related Articles

Back to top button