Nasional

Bantuan subsidi ‘BUDI MADANI’ mula disalurkan kepada lebih 30,000 pemohonan 10 Jun depan

Lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai berjumlah RM200 di bawah inisiatif BUDI MADANI pada 10 Jun 2024.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), kesemua 30,000 pemohon pertama bantuan BUDI MADANI akan menerima wang subsidi terbabit melalui akaun bank penerima.

“Penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

“Bagi membendung kenaikan kos sara hidup, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel bersasar kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu.

“Sementara bantuan tunai RM200 disediakan kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

BUDI MADANI merupakan usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat serta kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasar semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak menerima BUDI Individu.

Dalam pada itu, seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Sementara itu, menurut MOF, pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima BUDI MADANI.

“Permohonan yang dibuat selepas Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk Jun 2024.

“Berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan adalah atas sebab tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. 

“Sebagai contoh, terdapat pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di kementerian yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya, bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu, sebelum mengemukakan permohonan BUDI MADANI.

Justeru, bagi pemohon individu yang tidak diluluskan, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my atau hubungi di talian 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 atau 03-8882 4566.

Related Articles

Back to top button