Global

Malaysia akan terus jadi negara bebas dan berdaulat, tegas PM Anwar

Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat dan tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana kuasa besar, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman sosialnya berkata, pendirian itu turut dinyatakan pada sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 yang diadakan pada Khamis.

“Saya meneguh pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat selain tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana kuasa besar dunia.

“Mengambil contoh hubungan yang kukuh dan membuahkan hasil dengan China dan Amerika Syarikat, Malaysia akan terus berpegang erat pada hubungan yang produktif dan bermakna dengan rakan kongsi lain sama ada rakan kongsi strategik dan komprehensif strategik yang telah lama wujud,” katanya.

Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 yang diadakan di Kuala Lumpur dengan tema ‘Krisis dalam Masa Peralihan’ merupakan platform untuk menangani isu-isu penting yang mempengaruhi rantau Asia-Pasifik.

Sementara itu menurut Anwar, pada ucapanya juga beliau turut menyinggung perkembangan geopolitik dan geostrategik yang telah mengesankan beberapa jalur dan mekanisme serantau dan rangka kerja multilateral,” jelas beliau.

Ia ekoran strategi pembentukan pakatan yang didorong oleh sikap persaingan yang tidak sihat. Gejala seperti ini akhirnya akan membentuk sikap yang menginjak nilai keterangkuman, empati, dan ihsan di peringkat global.

BACA LAGI: Malaysia tidak pertaruh kedaulatan negara dalam menandatangani perjanjian antarabangsa

“Saya lontarkan kebimbangan terhadap persoalan rukun antarabangsa (international order) yang kini jelas gagal dalam menjelmakan keamanan dan menjejaskan kestabilan dunia seperti tragedi kemanusiaan di Palestin, Ukraine dan Myanmar, serta krisis di Sudan, Afghanistan, Ethiopia dan Haiti,” katanya.

Menyentuh mengenai kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bermula tahun depan, Perdana Menteri turut tegaskan negara-negara ASEAN perlu bersama dalam mendepani krisis di Myanmar mengambilkira angka kematian dan kesannya kepada negara di rantau ini.

“Usaha meneroka perdamaian dan menghentikan keganasan di Myanmar perlu dilaksanakan atas semangat persahabatan dan persaudaraan antara negara-negara ASEAN, khususnya menerusi pematuhan kepada Konsensus Lima Perkara yang dicapai secara bersama di Jakarta,” ujarnya

Related Articles

Back to top button