Bekas Menteri Pendidikan Musa Mohamad meninggal dunia
Bekas Menteri Pendidikan,Tan Sri Musa Mohamad meninggal dunia meninggal dunia lewat petang Sabtu.
Berita kematian Musa Mohamad, 81, yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dikongsikan oleh Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah menerusi satu hantaran di Facebook malam tadi.
USM jelasnya banyak terhutang budi kepada Allahyarham terutamanya dalam pembangunan fizikal dan akademik termasuk meletakkan asas yang kukuh kepada Pengajian Sains Perubatan dan Kejuruteraan.
“Mendapat khabar duka yang Naib Canselor USM ketiga, Tan Sri Musa Mohamad baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.
Seorang yang tegas dan berpandangan jauh, jovial, berprinsip serta berhati mulia.
“Secara peribadi saya banyak terhutang budi kepada beliau yang mencorakkan cara bekerja dan pemikiran sepanjang perkhidmatan di USM.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan diletakkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya dipetik.
Allahyarham Musa berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari 1982 hingga 1995 juga adalah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO antara tahun 2000 hingga 2003.
Beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan ke-14 bermula 1999 hingga 2004.