Pilihanraya

Bekas Pengarah IAB calon wakili Kerajaan Perpaduan di PRK Sungai Bakap

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli pada majlis pengumuman calon yang diadakan di Simpang Ampat, Nibing Tebal malam tadi berkata, pemilihan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia itu dibuat sebulat suara oleh pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Rafizi, pemilihan Joohari yang juga bekas guru kerana berpengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan pentadbiran dalam pendidikan.

Selain itu, beliau juga yang berkhidmat sebagai Pengerusi Masjid Seri Empangan Parit Buntar, Perak aktif dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap.

Dari segi pencapaian, Dr Joohari ,60, pernah dianugerahkan Guru Inovatif Daerah Seberang Perai Selatan pada tahun 2000, Tokoh Belia Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada tahun 2005.

Beliau turut pernah dianugerahkan dengan beberapa pengiktirafan antaranya sebagai ‘Certified Trainer’ dan ‘Certified Coach’ daripada IAB sejak tahun 2006 serta Pakat Negara dalam Pengajaran (PAJAR) daripada Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2016.

Pada 2003, beliau dianugerahkan Pemimpin Berinspirasi daripada Jemaah Nazir Negeri Kedah.

BACA LAGI: PRK Sungai Bakap medan penting sekat ‘gelombang pembangkang’

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya ketika dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Related Articles

Back to top button