Wira terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram naik pangkat secara anumerta
Kerajaan menganugerahkan pangkat koperal kepada dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu.
Kenaikan pangkat secara posthumous (anumerta) kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasutiion Ismail dan diterima oleh ibu bapa kedua-dua anggota polis terbabit pada satu majlis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Saifuddin berkata, dua anggota berkenaan turut menerima pampasan masing-masing RM216,632 dan RM213,586 meliputi bantuan mengurus jenazah, syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.
“Ia bertujuan meringankan beban keluarga, kita tidak boleh gantikan kesedihan kehilangan ahli keluarga dengan wang ringgit.
“Namun aspek kebajikan ahli keluarga PDRM akan sentiasa kita jaga dan ia memperlihatkan hubungan polis dengan ahli keluarga mangsa tidak akan terputus,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Sementara itu Saifuddin berkata, tiga anggota Balai Polis Ulu Tiram yang terbabit dalam kejadian itu adalah Koperal Mohd Hasif Roslan, 38; Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, turut menerima kenaikan pangkat secara medan.
Dalam kejadian mengemparkan negara pada 17 Mei itu, Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq maut selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak.
Susulan itu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa bersidang dengan dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan memfatwakan kedua-dua anggota yang terkorban dalam serangan berdarah itu sebagai syahid akhirat.
BACA LAGI: Tak perlu simpati kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram – Majlis Fatwa Johor
Sebagai rekod, kenaikan pangkat secara anumerta adalah ganjaran yang diberikan kepada polis yang terkorban semasa melaksanakan tugas dengan cemerlang sekali gus pengiktirafan bagi menghargai jasa serta pengorbanan yang ditunjukkan sewaktu menjalankan tugas.
Manakala kenaikan pangkat secara medan adalah kenaikan secara luar biasa diberikan kepada polis masih bertugas dan berjaya melaksanakan tugas dengan amat cemerlang serta pengorbanan ditunjukkan berada di tahap amat tinggi nilainya.