Negeri

Yayasan Selangor ceriakan 10 keluarga asnaf menjelang Syawal

Seramai 10 buah keluarga asnaf menerima sumbangan daripada Yayasan Selangor (YS) sempena meraikan kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YS, Encik Zaini Sulaiman berkata, sumbangan tersebut merupakan pengisian aktiviti Kembara Kasih Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan oleh Unit Komunikasi Yayasan Selangor.

“Keseluruhan sumbangan berjumlah RM8,000 yang terdiri daripada sumbangan barangan makanan asas bernilai RM300 dan sumbangan wang tunai RM500 yang diberi kepada setiap keluarga.

“Pihak Yayasan Selangor mengharapkan agar inisiatif ini dapat memberi kesedaran kepada kita untuk mengambil berat tentang keresahan dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Zaini Sulaiman dan Pengurus Komunikasi Yayasan Selangor, Norhayati Umor secara berperingkat kepada penerima.

Pada 22 Mac lalu, Yayasan Selangor menerusi Program BITARA Yayasan Selangor menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM990,000 kepada 62 pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2024/2025.

Ia membabitkan 55 pelajar di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terpilih menerusi Program Budi Yayasan Selangor, dan tujuh murid di Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM).

Yayasan Selangor berkata, pelajar yang terpilih adalah terdiri daripada golongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.

Ia membabitkan penajaan meliputi yuran persekolahan, yuran penginapan dan makanan, yuran pengajian, wangsaku dan peranti.

Related Articles

Back to top button