Semasa

Hasil penjimatan dari subsidi akan digunakan untuk naik taraf perkhidmatan keretapi – Rafizi

Penjimatan dikumpul daripada penyelarasan subsidi diesel bakal digunakan bagi meningkatkan jaringan pengangkutan awam.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan menggunakan penjimatan itu bagi menaik taraf kereta api dari Padang Besar ke Johor Bahru dalam tempoh lima tahun.

“Landasan kereta api kita boleh tahan hebat, kerajaan terdahulu belanja lebih RM20 bilion untuk buat landasan kereta api berkembar dari Padang Besar ke Johor Bahru, tetapi kereta api yang ada hanya gunakan 30 peratus kapasiti sahaja.

“Kalau tanya orang, mereka masih maki kita sebab kereta api tak cukup.

“Jika kita ada wang, lori kontena tak bising sangat mengenai diesel sebab mereka akan gunakan kereta api,” katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rafizi turut melontar pandangan sekiranya kapasiti kereta api meningkat, rakyat yang memandu kenderaan dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan jalan raya akan berkurangan tahun demi tahun.

“Cerita sekarang ini, bagaimana kita nak bergerak ke hadapan? Masalah ini tak boleh serahkan kepada orang lain, kita sedia maklum segala masalah ini maka keputusan perlu dibuat.

“Sebelah sana (pembangkang) akan janji atau maki macam-macam sebab mereka fikir kemudian,” katanya.

Kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pentadbiranya kini giat memfokus usaha untuk meningkatkan jaringan, infrastruktur dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

BACA LAGI: Selari matlamat rasionalisasi subsidi, kerajaan fokus tingkat khidmat pengangkutan awam

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 4 Tahun 2024 yang dipengerusikannya pada Isnin telah meneliti kertas “Pemerkasaan Industri Kereta Api” hatta perbincangan terarah kepada kepentingan pelaksanaan segera rasionalisasi industri kereta api negara berdasarkan objektif Akta Keretapi 1991 (Akta 463).

Related Articles

Back to top button