Majlis Belia Selangor bimbang keputusan MFL cemar imej sukan bola sepak
Majlis Belia Selangor (MBS) menyatakan kebimbangan susulan hukuman dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC)
Presidennya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, hukuman termasuk denda RM100,000 terhadap Selangor FC dianggap tidak adil malah memberi risiko besar kepada masa depan industri bola sepak negara.
“MBS berpandangan hukuman yang dikenakan adalah tidak adil. Semangat kesukanan seharusnya dikedepankan oleh semua pihak nampaknya telah pudar dan pada masa yang sama.
“Keputusan MFL ini hanya merosakkan imej sukan bola sepak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
MFL mendenda Selangor FC RM100,000 susulan tindakan pasukan itu untuk ‘tidak hadir’ pada saingan Piala Sumbangsih baru-baru ini.
Difahamkan, ketidakhadiran Selangor FC setelah MFL menolak rayuan penangguhan perlawanan susulan serangan asid yang mengancam nyawa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim
Selain denda tersebut, media melaporkan skuad Gergasi Merah itu dikehendaki membayar pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton.
Susulan itu pada Rabu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan atas keputusan itu.
Manakala kerajaan negeri mengumumkan pihaknya akan melancarkan usaha bersama bagi mengumpul dana untuk membantu Selangor FC membayar denda dikenakan.
“MBS menyokong cadangan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta usaha murni dan inisiatif pelbagai pihak bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan,” katanya.
BACA LAGI: Selangor bidas keputusan MFL, lancar usaha bersama bantu bayar denda Selangor FC
Sehubungan itu, Imran menggesa seluruh masyarakat, khususnya rakyat Selangor menyatakan solidariti kepada Selangor FC dengan membeli barangan seperti cenderahati, jersey asli dan tiket perlawanan.
“Sebagai tanda sokongan, ayuh bersama Selangor FC dan turun padang sebagai tanda hadir bagi menyaksikan perlawanan Selangor FC di stadium mahu pun di media sosial dengan tanda pagar #MKLK – Merah Kuning Lambang Kebanggaan,” katanya lagi.