Sukan

Selangor bidas keputusan MFL, lancar usaha bersama bantu bayar denda Selangor FC

Kerajaan Negeri Selangor bakal melancarkan usaha bersama bagi mengumpul dana untuk membayar denda RM100,000 yang dikenakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC). .

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Exco Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berikutan iktibar dan pedoman titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu melalui kenyataannya Amirudin mewakili seluruh kerajaan negeri Selangor menjunjung kasih titah Sultan Sharafudin yang murka dengan keputusan MFL terhadap Selangor FC.

Titah murka Sultan Sharafuddin Idris Shah itu jelasnya turut menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa, serta melampaui batas.

“Sebagai badan mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut.

“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan para penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa tanggungjawab ,” ujarnya Amirudin.

BACA LAGI: Faisal Halim mahu segera pulih, rindu main bola

MFL mendenda Selangor FC RM100,000 susulan tindakan pasukan itu untuk ‘tidak hadir’ pada saingan Piala Sumbangsih baru-baru ini.

Difahamkan, ketidakhadiran Selangor FC setelah MFL menolak rayuan penangguhan perlawanan susulan serangan asid yang mengancam nyawa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim

Selain denda tersebut, media melaporkan skuad Gergasi Merah itu dikehendaki membayar pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton.

“Belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini. Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,”titah baginda yang juga penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Related Articles

Back to top button