Semasa

KKM lancar kajian pemetaan penjagaan kesihatan fasa 1

Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Kajian Jurang Penawaran dan Permintaan fasa satu dengan kolaborasi Kumpulan Bank Dunia.

Melalui satu kenyataan kementerian itu berkata, kajian bagi tujuan pemetaan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk dua dekad akan datang dengan menumpukan analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara merangkumi aspek fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia.

Kajian itu turut bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi.

“Dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

“Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang di samping membantu dalam peralihan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi,” menurut KKM pada Jumaat.

BACA LAGI: KKM dalam usaha tangani kelesuan, beban kerja dikalangan petugas kesihatan

Justeru, kementerian itu menyeru sektor kesihatan awam dan swasta untuk menyertai kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai 2024.

“Data yang diperoleh daripada kaji selidik berkenaan tertakluk kepada kerahsiaan dan tidak akan dikongsikan dengan pihak dari luar pasukan kajian.

“Dengan lebih daripada 18,500 fasiliti swasta berdaftar, usaha kolaboratif ini akan menyediakan data yang diperlukan untuk menggubal dasar yang strategik bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan mengukuhkan kerjasama awam-swasta, ” tambah KKM.

Related Articles

Back to top button